Kalau 4 tahun boleh tunggu, kenapa setahun tak boleh’

- Advertisement -



KOTA BHARU:
PAS berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat sesuai diadakan selepas tamat penggal Parlimen ke-14 yang akan berakhir Setember tahun depan.

Naib Presidennya Dato’ Mohd Amar Abdullah, berkata dengan cara ini Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dapat melaksanakan misinya membangunkan semula negara dan ekonomi selepas berdepan wabak Covid-19.

Kata beliau seharusnya perdana menteri diberikan masa untuk memulihkan negara kesan daripada pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Kalau tanya pandangan saya secara peribadi dan PAS juga lebih suka kalau tunggu habis penggal ke-14. Lagi pun hanya ada lebih kurang setahun sahaja lagi.

“Kalau empat tahun boleh tunggu, kenapa setahun tak boleh tunggu. Saya rasa kita wajar beri ruang kepada perdana menteri sebab beliau baru terajui negara. Sudah tentu ada perancangan yang hendak dilakukan.

“Berikan peluang perdana menteri mengatasi masalah ekonomi kesan pandemik,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Stesen Mek Awey Panchor, di sini, semalam.

Selasa lepas perdana menteri dilaporkan berkata, beliau tidak terburu-buru untuk mengadakan PRU-15 berikutan keadaan negara yang sedang berdepan kenaikan inflasi dan harga barangan terutamanya makanan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, sekiranya PRU15 diadakan sekarang, masa untuk perdana menteri untuk membuktikan kemampuannya mentadbir negara tidak banyak ruang.

Menurutnya juga Ismail Sabri seharusnya diberi ruang untuk mentadbir negara dan dapat membuktikan kemampuannya dalam merangka agenda negara.

Ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Dato’ Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi baru-baru ini beliau berkata, terpulang kepada perdana menteri untuk menerima atau menolaknya.

Sekiranya peletakan jawatan itu diterima, katanya, kekosongan itu perlu diisi wakil dari Bersatu kerana ia adalah kuota parti itu. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -