Perniagaan dari kaca mata Islam

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ اِلَّآ اَنْ تَكُوْنَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِّنْكُمْ ۗ وَلَا تَقْتُلُوْٓا اَنْفُسَكُمْ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu.”

(an-Nisa’: 29)

Berniaga adalah salah satu Sunnah Rasulullah S.A.W dan para Sahabat Baginda yang menjadi ibadah. Matlamat perniagaan adalah seperti ibadah yang lain di dalam Islam iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T dengan berbuat kebajikan, bukan semata-mata untuk mencari keuntungan material.

Perniagaan atau jual beli merupakan satu medium untuk melakukan kebajikan di mana pembekal atau peniaga memberikan kemudahan kepada masyarakat setempat dalam mendapatkan keperluan mereka di samping memberikan pulangan keuntungan di atas kos dan pengurusan bagi pihak pembekal. Dari situ akan terjalin hubungan sesama anggota masyarakat.

Firman Allah S.W.T:

اَلَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ الرِّبٰوا لَا يَقُوْمُوْنَ اِلَّا كَمَا يَقُوْمُ الَّذِيْ يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطٰنُ مِنَ الْمَسِّۗ ذٰلِكَ بِاَنَّهُمْ قَالُوْٓا اِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبٰواۘ وَاَحَلَّ اللّٰهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ فَمَنْ جَاۤءَهٗ مَوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّهٖ فَانْتَهٰى فَلَهٗ مَا سَلَفَۗ وَاَمْرُهٗٓ اِلَى اللّٰهِ ۗ وَمَنْ عَادَ فَاُولٰۤىِٕكَ اَصْحٰبُ النَّارِ ۚ هُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ.

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya (mengenai pengharaman riba), lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(al-Baqarah: 275)

Amaran Allah terhadap pemakan riba. Allah S.W.T menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba kerana perbezaan amalan, kesan dan akibat antara kedua-duanya. Namun ada penjelasan yang terperinci mengenai penetapan harga barang dan kadar keuntungan bagi barangan keperluan harian dan barangan yang bukan keperluan harian. Sistem muamalat Islam pastinya yang terbaik untuk kesejahteraan negara dan masyarakat keseluruhannya.

Bagi seorang peniaga yang bertaqwa pastinya akan memikirkan ruang-ruang kebajikan yang terdapat dalam lapangan ini dan bukan hanya memikirkan jumlah keuntungan dan pencapaian target peribadi semata-mata. Dia yakin bahawa tindak tanduk yang tidak menepati syarak akan mengakibatkan penyesalan di akhirat seperti mencampuradukkan barangan yang baik dengan yang rosak, yang asli dengan yang tiruan dan seumpamanya.

Meletakkan harga barang yang berlipat kali ganda terhadap barangan keperluan harian pengguna sehingga membebankan dan menafikan hak mereka untuk mendapatkan keperluan untuk keluarga juga merupakan kesalahan dan tiada peri kemanusiaan sejagat. Namun begitu ada kalanya kenaikan harga barang berlaku kerana kekurangan bekalan di pasaran yang mengakibatkan penawaran harga yang tidak terkawal atau aktiviti pembelian secara monopoli.

Justeru marilah sama-sama kita memikirkan sesuatu bermatlamatkan rahmat Allah untuk semua tanpa menafikan hak pihak peniaga dan pembekal juga pihak pembeli dan pengguna. Pematuhan kepada arahan pihak berwajib juga perlu bagi mengelakkan kegawatan yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi dalam negara.

“Islam Menyatukan Ummah”

Al-Faqiiru IlalLah,
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Johor – HARAKAHDAILY 31/5/2022

- Advertisement -