
TAHUN 2019, Gerakan Pertanian Al-Falah (GEPA) diperkenalkan sebagai platform untuk membina usahawantani memulai langkah dari ‘zero knowledge’ hinggalah mampu menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya perniagaan yang berjaya.
Beberapa contoh program telah disusun mengikut keperluan semasa, antaranya adalah:
▪︎ GEPA Pondok/Tahfiz – sumber kewangan buat pentadbiran dan pengurusan institusi. Sasaran TVET Pertanian tercipta.
▪︎ GEPA Usahawanita Tani – mengangkat golongan muslimat untuk sama-sama bersaing dengan kaum dominan lelaki.
▪︎ GEPA OKU Tani – mencipta peluang dan ruang buat golongan teristimewa ini berterapi dengan alam, agar ia mampu membangunkan diri serta pendapatan keluarga.
▪︎ Webinar Al-Falah – pengurusan kewangan dan perakaunan bijak kepada usahawantani bagi pendedahan ilmu sepanjang perniagaan pertanian dan penternakan mereka.
▪︎ Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertandingan video pendek Lockdown Living Al Falah diperkenalkan bagi menyokong keluarga memenuhi masa PKP dengan acara santai pertanian dan penternakan sekeluarga.
▪︎ IR 4.0 Pertanian – pengenalan kepada Kursus Agriculture Drone Pilot (ADP) Dron Al-Falah untuk membantu anak muda serta pengusaha padi dengan pendedahan teknik dan tatacara pengendalian dron secara Precision Farming – kaedah pertanian tepat dan juga peraturan dron yang akan di tetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Negara.
Contoh di atas adalah ketandaan kepentingan pembangunan usahawantani oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ia selaras dengan sasaran, agar seramai 1,000 usahawantani terhasil di tahun 2023 dengan pelbagai bidang sektor pertanian diceburi.
Pelarasan data aktif oleh pihak UPEN Negeri Kelantan melalui informasi Jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberi peluang golongan ini mendapat manfaat bantuan serta kemudahan tawaran nanti.
Proaktif Kerajaan Negeri Kelantan, bukan sekadar bantuan tambahan dan penyediaan awal kepada usahawantani, malah membina karektor minat dan sayang kepada sektor pertanian ini bermula di peringkat awal persekolahan lagi.
Program Tunas Tani Al-Falah diperkenalkan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Kelantan serta pentadbiran Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam (SRITI) serta Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Projek perintis ini akan dimulakan dalam tahun 2022 ini melibatkan beberapa sekolah terpilih, agar semangat ‘Bertani Satu Ibadah’ nanti bermula dari rebungnya, insya-Allah.
……..bersambung Siri 3
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 31/5/2022


















