
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mempunyai tanggungjawab besar dalam menguruskan pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, ini khususnya dalam penyatuan ummah, dakwah, pengurusan masjid dan surau, kekeluargaan Islam, termasuklah dalam soal pengurusan pendidikan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada JAWI kerana telah berjaya mengangkat peranan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di samping mengangkat syiar Islam yang menyebarkan kasih sayang dan ukhuwah.
“Ini juga salah satu program dakwah dan pendidikan,” ujarnya pada Majlis Apresiasi Kunjung Serah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) KAFA JAWI di Masjid Zubair Al-Awwam, di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.
Pada masa yang sama, katanya beliau sentiasa memberikan peringatan kepada Datuk Pengarah JAWI bersama pasukannya agar sentiasa mengutamakan aspek pendidikan KAFA.
“Ini adalah jihad kita untuk mendidik anak-anak kita yang berada di kota raya Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan,” katanya lagi.
Kata beliau lagi, ini tambah mustahak apabila negara telah berhadapan dengan krisis kesihatan Covid-19 selama dua tahun yang telah menjejaskan pendidikan anak-anak yang terpaksa belajar dari rumah.
Menurutnya, sektor pendidikan, ekonomi termasuk institusi agama turut terjejas dengan krisis kesihatan itu.
“Namun apakan daya, walau dengan penuh cabaran, kita tetap menggalas tugas sehabis baik memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak kita,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau telah mengarahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk memberikan kemudahan tablet dan wifi percuma untuk kemudahan anak-anak asnaf yang berada di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, MAIWP telah menyediakan 5,000 tablet beserta pakej data selama setahun dengan perbelanjaan sebanyak RM9.3 juta.
“Alhamdulilah, Mac lalu, kita telah sampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf yang terlibat,” ujarnya.
Di samping itu, kata beliau kemudahan wifi percuma telah MAIWP sediakan di 10 buah kawasan PPR, masjid dan surau PPR di Wilayah Persekutuan dengan kos RM600,000.
“Aspek pendidikan Islam adalah keutamaan saya. Pada saya, kita semua bersetuju dengan pendidikan sahaja yang akan memastikan anak-anak kita dapat membuat pertimbangan mana yang betul, mana yang salah.
“Insya-Allah dengan pendidikan agama, anak-anak kita akan terpandu akhlak mereka,” katanya.
Idris menambah, dalam beberapa siri pertemuan dengan JAWI, beliau meminta jabatan itu memikirkan satu kaedah bagaimana cara lagi yang dapat membantu anak-anak KAFA di Wilayah Persekutuan khususnya untuk bangkit setelah lama diuji dengn Covid-19.
Beliau amat memahami bagi ibu bapa yang diuji dengan kesempitan hidup, ada yang tidak mampu untuk membeli buku untuk anak-anak.
“Sedikit sebanyak akan menjejaskan pelajaran anak-anak. Tentunya perkara ini kita tidak mahu berlaku kepada anak-anak kita.
“Alhamdulillah, hari ini pihak JAWI telah merealisasikan usaha menyempurnakan infrastruktur dari segi mencukupkan keperluan pendidikan dengan memberi bantuan pinjaman buku teks ini untuk anak- anak KAFA.
“Saya kira inisiatif ini adalah julung-julung kalinya kita laksanakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/5/2022











