
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan hampir RM1 juta bagi melaksanakan program Zon Indah Bersih dan Ceria tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu diberi peruntukan bagi menjayakan zon berkenaan.
Katanya peruntukan tersebut diberikan kepada seluruh PBT bertujuan untuk meningkatkan kebersihan, keceriaan dan pencahayaan.
“Kita berharap semua PBT dapat meningkatkan kebersihan, keceriaan dan pencahayaan dengan menaik taraf landskap di kawasan simpang di tempat-tempat tertentu yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam di pejabatnya di sini semalam.
Menurut Dr Izani juga peruntukan tambahan bagi tujuan tersebut boleh dimohon PBT bagi memastikan Zon Indah Bersih dan Ceria menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 12/5/2022











