Perayaan: SADA maksimumkan pengeluaran air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Permintaan bekalan air bersih di Kedah dijangka akan berlaku peningkatan ketara pada musim perayaan iaitu 780 juta liter sehari (MLD) berbanding 250 MLD pada hari biasa.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dijangka penggunaan air bersih akan meningkat 30 peratus daripada kadar biasa menjelang Aidilfitri.

Katanya Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan memaksimumkan pengeluaran air untuk memastikan masalah bekalan air bersih di musim perayaan dapat dikurangkan.

- Advertisement -

Selain itu kata beliau, penduduk di Kedah akan bertambah sehingga 5.2 juta berikutan dilaporkan akan berlaku kemasukan 1.4 juta kenderaan ke negeri itu untuk pulang berhari raya di kampung.

“Kita menjangka akan berlaku pertambahan penduduk di Kedah sehingga 5.2 juta orang berdasar kepada kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Aidilfitri ini.

“Oleh itu kerja-kerja penyelenggaran termasuk pembaikan paip dan penukaran meter ditangguh sementara untuk memberi fokus kepada pengeluaran air terawat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, semalam.

Justeru itu kata beliau beberapa tindakan akan dilakukan SADA, antaranya mengaktifkan bilik gerakan yang berfungsi sebagai platform tambahan bagi pengguna untuk membuat aduan.

Platform itu sebagai tambahan yang sedia ada iaitu talian hotline (1300 88 0017) yang diuruskan Pusat Informasi SADA (SIC) dan akan ditambah dari empat ke lapan talian.

“Pelan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 29 April sehingga 6 Mei dan orang ramai boleh membuat aduan ke bilik gerakan dengan menghubungi talian 04-7408976,” kata beliau.

Selain itu menurut Sanusi, Pusat Khidmat Setempat (PKS) juga akan diwujudkan di 12 lokasi berisiko tinggi mengalami masalah gangguan bekalan air.

Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama SADA, pemimpin setempat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamtan Kampung (JPKK)

“Para pengguna di kawasan berkenaan boleh membuat aduan secara terus ke kaunter PKS tanpa perlu menghubungi talian hotline atau bilik gerakan yang berkemungkinan akan mengalami kesesakan,” tambah beliau.

PKS jelasnya akan mula beroperasi pada 2 hingga 4 Mei dan jam 8 pagi hingga 5 petang. SADA juga menyediakan 71 lori tangki berkapasiti rendah dengan anggaran 800 hingga 1,200 gelen untuk digerakkan ke kawasan terjejas.

Sementara dua buah lori tangki (jumbo tanker) berkapasiti 10,000 gelen akan digerakkan ke tangki-tangki simpanan utama serta bertindak  sebagai feeder kepada  lori-lori kecil.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya serta menggunakannya secara berhemah sepanjang perayaan ini,” tambah beliau.

SADA katanya begitu komited dan prihatin berusaha membekalkan air bersih kepada pengguna malah kakitangannya dikehendaki bertugas seperti biasa selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -