Perantau digalak laku ujian kendiri sebelum balik raya

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan menyarankan perantau yang mahu pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan digalak melakukan ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) Antigen secara kendiri.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, meskipun kerajaan tidak mewajibkan ujian saringan itu dilakukan, namun tindakan tersebut sebahagian daripada tanggungjawab individu dalam memastikan keselamatan ibu bapa dan keluarga.

- Advertisement -

“Saya nasihatkan kepada semua perantau dan rakyat sentiasa menjaga keselamatan keluarga dan kita tidak mahu sesuatu di luar jangkaan kita berlaku.

“Oleh itu, saya berpendapat lebih baik kita sentiasa menjaga keselamatan dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan sumbagan biskut raya kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di kediaman rasminya, di sini hari ini.

Mengulas mengenai keseronokan meraikan hari raya serta menghadiri rumah terbuka, orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi SOP dengan mengikut kapasiti yang sesuai untuk berada atau berkumpul di sesuatu tempat.

“Setakat ini rumah terbuka dibenarkan cuma kita perlu jaga kapasiti dengan mengikut SOP yang sesuai demi menjaga keselamatan semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2022

- Advertisement -