Masjid, surau perlu jadi pusat perubahan amalan tidak merokok

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUTRAJAYA: Institusi masjid termasuk surau diharap dapat menjadi pusat perubahan kepada amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, kakitangan dan pegawai masjid perlu berperanan sebagai agen untuk menyebarkan maklumat tentang bahaya rokok kepada kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

“Masjid dan surau wajar untuk mengundang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam program kuliah serta forum untuk mngetengahkan topik berkaitan kesihatan, termasuklah kesedaran tentang bahaya rokok.

“Usaha ini tentunya akan membina kefahaman berpandukan kepada ilmu dan fakta. Saya percaya usaha ini telah pun dilaksanakan oleh pihak Masjid dan Surau, ianya wajar diteruskan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pelancaran program perkhidmatan berhenti merokok mQuit masjid , di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Turut serta, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; serta Timbalan Pengerusi JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Tambahnya, adalah wajar institusi masjid menggerakkan kempen kepada jemaah untuk berhenti merokok atas faktor merokok penyebab utama pelbagai penyakit kronik.

Katanya, pihaknya akan menggerakkan kempen itu melalui masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); dan masjid dan surau di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama KKM.

“Pada masa yang sama, JAKIM akan berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk kita melebarkan lagi kempen serta pendidikan ini kepada masyarakat awam,” katanya.

Setakat ini, program mQuit masjid melibatkan 12 masjid di bawah kelolaan JAKIM dan JAWI di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Antaranya adalah Masjid Negara, Masjid Wilayah, Masjid Imam Al-Ghazali, Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Masjid Imam Asy-Syafie-Azmi, Masjid Usamah bin Zaid, Masjid Muqarrabin, dan Masjid Ar-Rahman di sekitar Kuala Lumpur.

Manakala Masjid Putra dan Masjid Mahmoodian di sekitar Putrajaya serta Masjid An-Nur Ghaus di Labuan. – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -