Peguam sekadar bantu hakim buat keputusan

Nik Bahrum Nik Abdullah
- Advertisement -

Oleh NIK BAHRUM NIK ABDULLAH

MUTAKHIR
ini, ramai yang terkeliru dengan polemik ‘sebelah kaki peguam di dalam neraka’. Ramai yang percaya ada hadis yang menyebutnya begitu.

Saya sendiri tidak pernah dimaklumkan kewujudan hadis yang mencadangkan potensi peguam untuk masuk neraka. Sepanjang mengikuti pengajian formal dalam bidang undang-undang (sivil dan syariah) 30 tahun dahulu, tidak pernah saya jumpa hadis sebegitu. Tidak pernah!

Kemungkinan yang pasti polemik tersebut merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah bin Al-Hashib RA bahawa Nabi s.a.w bersabda yang membawa maksud:

- Advertisement -

“Para kadi terbahagi kepada tiga golongan: satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum maka dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.”

Tidak disebut perkataan ‘peguam’ melainkan Nabi s.a.w secara jelas menyebut ‘kadi’ atau ‘hakim’. Nabi membahagi hakim kepada tiga golongan iaitu:

Hakim yang akan masuk syurga iaitu hakim yang tahu kebenaran lalu memberi hukuman sejajar dengan kebenaran tersebut.

Hakim yang akan masuk neraka iaitu hakim yang tahu kebenaran tetapi tidak berhukum dengan benarnya fakta. Begitu juga hakim yang menghukum dalam keadaan dia belum jelas tentang fakta kes juga akan masuk neraka.

Hadis tersebut meletakkan seseorang yang berada pada kedudukan boleh mengeluarkan hukuman pada kedudukan yang istimewa. Betul atau salah menggunakan prinsip hukuman boleh menentukan sama ada syurga atau neraka pula sebagai balasan.

Hakim dalam hadis tersebut tidak sesekali sesuai untuk diqiaskan dengan peguam. Hakim adalah sesorang yang boleh menjatuhkan hukum manakala peguam pula bertanggungjawab untuk membantu hakim mencapai keputusan.

Peguam hanyalah ‘pegawai mahkamah’ yang bertindak mewakili anakguamnya. Dia tidak sesekali boleh bertindak menjatuhkan hukuman melainkan berusaha membentangkan segala fakta untuk pertimbangan mahkamah.

Betul, salah membela orang yang bersalah. Tapi bagaimana kita boleh mengatakan seseorang itu bersalah sedangkan hakim belum menjatuhkan hukum? Apa yang penting seorang peguam tidak seharusnya mereka-reka fakta atau menyembunyikan fakta bagi memenangkan anak guammnya.

Barangkali jika dibolehkan, dalam konteks syurga atau neraka lantaran menghukum, ‘hakim’ dan ‘mufti’ sebenarnya lebih dekat untuk dikiaskan kerana mufti juga orang yang terakhir mengeluarkan fatwa selepas membuat kajian demi kajian.

Mufti yang berfatwa dengan kebenaran tentu sahaja layak untuk masuk syurga. Manakala mufti yang semberono serta tidak tahu peranan dan fungsi peguam tetapi tetap juga memberi ‘fatwa’ sebegitu maka kepada Allahlah kita berserah. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

Penulis merupakan seorang peguam.

- Advertisement -