
Oleh EVA NATASHA SADALI
HULU LANGAT: Ibadah pada bulan Ramadan tidak sewajarnya dijumudkan dengan konsep berpuasa atau tarawih semata-mata.
Tetapi perlu diterapkan semangat mempertahan serta memperjuang Islam sebagaimana yang dilalui Rasulullah SAW serta para sahabat, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hasan.
“Itulah sebenarnya antara roh yang ramai dileka dan dilalaikan oleh umat Islam apabila mereka melakukan ibadah di bulan Ramadan ini kerana ramai dalam kalangan kita lebih memahami ramadan ini sekadar ibadah puasa, sembahyang terawih begitu sahaja.
“Tetapi apa yang paling penting ialah ini menjadi peluang untuk umat islam membugarkan kembali semangat juang sehingga akhirnya mereka bertenaga zahir dan spiritualnya untuk mempertahankan kemuliaan dan keagungan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan Memperingati Badar al-Kubra, dekat Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), di sini, semalam.
Menurut beliau, mengambil iktibar perjuangan Nabi SAW serta para sahabat, umat Islam dunia perlu ‘dibangunkan’ untuk melihat kekejaman dilakukan zionis laknatullah terhadap saudara Islam di Palestin.
“Kita dikejutkan dengan satu peristiwa bagaimana zionis laknatullah tanpa mengira dan mempedulikan keadaan umat islam yang sedang berpuasa pula di tempat suci umat Islam di Masjid Al-Aqsa telah menyerang dan membelasah umat Islam sehingga kita difahamkan lebih daripada 100 orang yang mengalami kecederaan dan juga syahid dalam peristiwa tersebut.
“Jadi sebab itulah bulan Ramadan ini , kita mengharapkan sesuai dengan keberkatan dilimpahi oleh Allah supaya umat Islam di seluruh dunia tidak sekadar menyatakan solidariti kepada umat Islam di Palestin.
“Tetapi gunakan kesempatan ini untuk memanjatkan doa qunut nazilah kepada Allah supaya Dia memberi bantuan dan pertolongan-Nya kepada umat Islam di Palestin dan seterusnya memberi balasan setimpal kepada zionis yang tak sudah-sudah mengganggu, bukan sekadar membunuh umat Islam bahkan merosakkan tempat suci umat Islam itu,” rayunya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa badan-badan Islam dunia bersatu dan bertindak tegas mempertahankan saudara Islam di sana kerana ia bukan sahaja melibatkan isu agama bahkan merentas isu kemanusiaan.
“Saya harap perkara ini kita tak pandang sepi walaupun telah seminggu yang lalu berlaku tetapi saya percaya kekejaman seperti ini, selagi mana zionis tidak diberi balasan yang sewajarnya, selama itulah akan terus berlaku,” katanya.
Program Ihya’ Ramadan Memperingati Badar al-Kubra, anjuran YADIM itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memaksimakan maksud ibadah di bulan suci umat Islam ini, dengan semangat juang yang ada pada Nabi Muhammad SAW serta para sahabat.
Dalam program itu turut diadakan sumbangan berbentuk keperluan asas kepada 12 keluarga orang asli Kampung Pangsun, di sini.
Dalam majlis yang sama juga, turut diberikan sumbangan duit raya kepada pelajar Maahad Tahfizul Quran Anawiyah serta pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi. – HARAKAHDAILY 19/4/2022











