
TANAH MERAH: Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly (BSF) dilaksanakan Majlis Daerah Tanah Merah merupakan yang pertama di Kelantan.
Projek itu dilaksanakan di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menteri KASA Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak RM2.94 juta diperuntuk bagi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.
Katanya, BSF merupakan spesis lalat bagi membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian dan larva yang dihasilkan mampu menjadi makanan ternakan.
“Projek tersebut mampu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah dengan berkurangnya bahan buangan serta dapat memelihara alam semula jadi dan mengurang pencemaran alam,” katanya selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly di tapak Pasar Borong Tanah Merah semalam.
Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA Noor Afifah Abdul Razak.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah, Mohammad Yusoff Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) Ts Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd Dr Roshdi Hassan.
Tuan Ibrahim juga berkata, projek itu memberi manfaat kepada kira-kira 27,000 penduduk Tanah Merah dan kawasan sekitarnya.
“Manakala anggaran potensi pengurangan karbon mencecah 1,070 tan karbon dioksida setahun bersamaan dengan nilai penyerapan karbon dalam setahun oleh 26,750 pokok yang matang,” katanya. – UPKN




















