Kekurangan tenaga kerja punca projek RMK12 lewat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebanyak 385 projek pembangunan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang melibatkan 83 projek baru manakala bakinya projek lama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata kesemua projek tersebut merangkumi perbelanjaan kira-kira RM19.87 billion.

- Advertisement -

Katanya bagi tahun ini sebanyak RM2.39 bilion diperuntukan melaksanakan projek tersebut dan 14 peratus atau RM334 juta daripada jumlah tersebut telah digunakan.

“Ini masih rendah berbanding dengan sasaran 25 peratus perbelanjaan bagi suku pertama tahun ini, kelewatan itu antaranya berpunca daripada kekurangan tenaga kerja.

“Selain itu isu penyelarasan di peringkat agensi kerajaan dan masalah tapak projek yang rumit turut menyumbang kepada kelewatan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas taklimat status projek pembangunan RMK12 di Bilik Gerakan Mabna di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Noor.

Terdahulu beliau menyertai taklimat diadakan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sembilan status projek dibentang taklimat itu termasuk pembangunan kemudahan sukan di seluruh Kelantan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2026.

Selain itu pelaksanaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KB-KK) dan pembesaran serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Projek lain pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan pembangunan Lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan.

Status pembinaan benteng banjir di Rantau Panjang serta projek penstabilan tebing Sungai Kelantan di Pohon Celagi di Pasir Mas turut dibentangkan pada taklimat terbabit. – HARAKAHDAILY 17/4/2022

- Advertisement -