Gerak kerja muslimat selaras PAS dalam kerajaan

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Muslimat PAS Sabah perlu merancang gerak kerja yang sesuai selaras sebagai sebahagian daripada parti komponen kerajaan sama ada di peringkat negeri dan Pusat sekarang.

Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, biar masyarakat merasai PAS sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat terutama dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu-isu yang menghambat rakyat.

- Advertisement -

Oleh itu katanya setiap lajnah perlu fokus terhadap hala tuju Dewan Muslimat PAS Sabah dengan menjuarai isu-isu rakyat.

“Gerak kerja dan tindakan setiap lajnah hendaklah berpandu pembentangan pada program hari ini,” katanya pada penutup retreat Dewan Muslimat PAS Sabah di Seri Ar Raudhah semalam. Program tersebut diadakan selama dua hari.

Menurutnya juga muslimat perlu memberi tumpuan secara bersasar kepada golongan muda dengan mengambil kira kehadiran ramai pengundi golongan terbabit sekarang selepas pelaksanaan Undi18.

Beliau turut merakam ucapan tahniah pembentangan Pelan Tindakan Strategik setiap lajnah menunjukkan kemajuan dari segi kefahaman dan penghayatan terhadap halatuju Dewan Muslimat PAS Sabah.

“Walaupun retreat baru masuk kali kedua namun nampak kematangan dari setiap lajnah dalam memahami keperluan masyarakat,” ujarnya.

Pengerusi lajnah pemerkasaan parti, Zaiton Ahmad pula berharap retreat tersebut dapat menghasilkan gabungan idea dan menyusun gerak kerja bagi memperkukuhkan kedudukan Dewan Muslimat PAS di Sabah. – HARAKAHDAILY 17/4/2022

- Advertisement -