
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengambil inisiatif mengadakan kempen keselamatan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api di bazar Ramadan terpilih di Kelantan.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, langkah itu dibuat bertujuan mengelak serta memastikan tiada sebarang kecelakaan dan kebakaran berlaku di kawasan yang mana menjadi tumpuan orang ramai dan berisiko.
Menurutnya, kempen keselamatan itu akan memberi fokus kepada kawasan perniagaan yang membabitkan aktiviti memasak atau membakar di lokasi jualan yang mana lebih terdedah kepada bahaya mudah terbakar.
“Kali ini merupakan kali pertama kita buat di negeri ini dan sebelum ini sudah ada program tersebut, namun tahun ini kita buat ‘fire force’ di bazar untuk mengelak berlaku kebakaran.
“Dan kita juga akan datang ke setiap gerai peniaga di bazar terlibat dengan memberi taklimat, selain itu kita juga akan mengedar risalah serta memberitahu langkah yang perlu diambil jika berlaku kebakaran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampai dua unit pemadam api kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
Menurutnya juga laporan kebakaran membabitkan bazar Ramadan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenainya. – HARAKAHDAILY 12/4/2022











