
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangun sistem al-Quran Digital Kawalan Tanpa Wayar bagi memudahkan imam membaca ayat lebih panjang ketika solat.
Dekan FTKEN Prof Madya Ts Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata, projek berkenaan hasil kerjasama Masjid Al-Arifin, Padang Katong, FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
Katanya, sistem berkenaan membolehkan imam dapat membaca ayat yang lebih panjang dalam solat serta boleh menggerakkan muka surat naskhah al Quran tanpa memerlukan pergerakan besar.
“Imam juga boleh membaca al-Quran melalui Quran digital yang dipancar di skrin dan mengawal pergerakan muka surat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan (wrist band),” katanya pada kenyataan hari ini.
Sebelum itu Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP komited menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang termasuk sistem berkenaan.
Katanya juga sistem terbabit berpotensi dikomersial dan digunakan di masjid, surau dan boleh digunapakai untuk kegunaan solat di rumah.
“Ia selari dengan halatuju Perlis Go Digital sekaligus memberi kefahaman kepada masyarakat tentang budaya digital,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2022











