Rakyat Malaysia perlu hormati Islam agama persekutuan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama sewajarnya menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, apabila semua pihak menghormati kedudukan Islam, rakyat dapat mempertahankan perpaduan yang dibina selama ini.

“Keharmonian negara adalah tanggungjawab kita bersama demi kestabilan dan kemakmuran negara yang dicintai.

- Advertisement -

“Oleh itu saya mengajak seluruh umat Islam sama-sama bersolidariti mempertahan akidah anak-anak Loh Siew Hong yang cuba diganggu-gugat pihak-pihak tertentu.

“Kebimbangan yang kita zahirkan sebelum ini menjadi nyata apabila sudah ada desakan agar kanak-kanak itu dimurtadkan setelah mereka mendesak dikembalikan ke pangkuan ibunya,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada 25 Mac lepas Loh memohon perintah semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berkaitan proses pengislaman anak-anaknya yang dibuat hampir dua tahun lalu dilakukan tanpa izinnya.

Ibu tunggal itu dilapor turut memohon mahkamah membatalkan pengislaman anak-anaknya itu dan diisytiharkan sebagai penganut Hindu.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berharap umat Islam membentuk jati diri Muslim yang unggul serta beristiqamah bagi mempertahankan akidah Islam.

Menurutnya Ramadan bukan sekadar bulan untuk berpuasa, malah merupakan bulan umat Islam memperteguh iman serta akidah mereka.

“Ramadan juga berlaku Perang Badar yang menjadi simbol jihad dan pengorbanan umat Islam bagi mempertahankan kesucian agama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -