Timbalan SUK dilantik PKN Kelantan baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Dato’ Norazman Abd Ghani dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri (PKN) Kelantan yang baharu.

Beliau menggantikan Dato’ Ahmad Robert Abdul Rahim yang bersara wajib pada akhir Mac lepas.

Hari ini Norazman mengangkat sumpah menerima jawatan di hadapan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di Kota Darulnaim.

- Advertisement -

Pada catatan di laman sosialnya menteri besar merakam ucapan tahniah di atas pelantikan Norazman dan semoga sentiasa diberi panduan dan bimbingan daripada Allah SWT.

“Ucapan penghargaan juga kepada Dato’ Ahmad Robert atas segala jasa sepanjang berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Norazman sebelum ini pernah dilantik beberapa jawatan penting dalam kerajaan negeri termasuk Setiausaha Dun, Ketua Jajahan Tanah Merah dan Ketua Jajahan Gua Musang.

Pada 2019 beliau menerima Ahli Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K) yang membawa gelaran Dato’.

Pada persidangan Dun Khamis lepas Menteri Besar, Speaker, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Dato’ Hassan Mohamood dan Adun BN merakam ucapan penghargaan kepada Ahmad Robert di atas khidmatnya sebelum ini. – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -