Rakyat lega AKSB kecuali bil air sepanjang Ramadan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Pengumuman kerajaan negeri mengecualikan bayaran bil bekalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kurang RM30 sepanjang bulan Ramadan ternyata melegakan ramai pengguna.

Rata-rata pengguna yang ditemui menyifatkan langkah kerajaan negeri itu sebagai hadiah sempena Ramadan terutamanya bagi penduduk miskin.

- Advertisement -

Mohd Yusoff Awang, 61 berkata pengumuman kerajaan negeri sangat memberi manfaat ketika rakyat ketika masih bergelut dengan pemulihan ekonomi ekoran penularan Covid-19.

“Rakyat bukan semuanya hidup senang, malah ramai yang masih susah bagi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi langkah kerajaan negeri banyak membantu,” katanya ketika ditemui di sini.

Khamis lepas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengumumkan
bil air AKSB akan dikecualikan bayaran bagi penggunaan kurang RM30 sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya pengeculian itu melibatkan 146,660 akaun pengguna dengan kos kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri sebanyak RM3 juta.

Mohd Yusoff juga berkata, langkah kerajaan negeri itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat yang baru sahaja memasuki fasa endemik.

Nur Zulaikha Che Ibrahim

Nur Zulaikha Che Ibrahim, 30 pula berkata kerajaan Kelantan prihatin terhadap kebajikan rakyat khususnya selepas wabak Covid-19 melanda.

Katanya ketika pandemik ramai rakyat kehilangan pekerjaan sehingga ramai berdepan kesukaran bagi menampung keperluan keluarga.

“Jadi langkah kerajaan negeri mengecualikan bayaran bil air AKSB sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang susah.

“Alhamdulillah langkah ini dapat meringankan beban dan kos sara hidup rakyat yang terjejas ketika pandemik hampir dua tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -