
KOTA BHARU: Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mengadakan kerjasama dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) bagi meneroka peluang perniagaan dan permuafakatan.
Ketua Pegawai Operasi PMBK Wan Mohd Husni Wan Osman berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif yang digerakkan PMBK dalam usaha memperkasakan peranan bagi memenuhi aspirasi Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan 2016-2025.
Katanya, pertemuan dengan pengurusan kanan TISB baru-baru ini berjaya mencetuskan hubungan yang positif dalam bentuk potensi.
“Selain itu projek pembangunan silang industri dan perkongsian pengalaman yang boleh diusahakan melibatkan kedua-dua belah pihak pada masa hadapan.
“PMBK juga memperkukuhkan hubungan dengan rakan-rakan strategik yang berada pada haluan industri yang sama,” katanya di sini.
Menurutnya juga melalui jalinan kerjasama tersebut diharap dapat membantu PMBK mengembangluaskan lagi potensi perniagaan dan pelaburan Kumpulan PMBK.
Turut hadir pada lawatan tersebut Pengurus Perancangan Strategik PMBK Susilawati Mat Na’aim @ Mustapha.
Kehadiran rombongan PMBK disambut President & Executive Director Terengganu Incorporated Sdn Bhd Burhanuddin Hilmi Harun.
Sempena program tersebut President & Executive Director TISB berkongsi pengalaman yang dihadapi TISB sehingga berjaya membantu kerajaan Terengganu menyelesaikan masalah dihadapi anak syarikat yang kurang berdaya maju.
TISB sekarang muncul sebagai syarikat yang berdaya maju di peringkat nasional. Selain itu peranannya menarik pelaburan yang strategik ke Terengganu. – HARAKAHDAILY 2/4/2022











