Projek Madinah As-Salam rancak pertumbuhan ekonomi Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Projek Pembangunan Madinah As-Salam di Mukim Tiong dekat sini yang bernilai RM80 juta dijangka dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pembangunan Madinah As-Salam termasuk dalam usaha kerajaan merealisasikan pelan strategik Kelantan Melangkah Kehadapan (KMK) 2016-2025.

- Advertisement -

Katanya, pembangunan Madinah Al-Salam terdiri daripada pelbagai komponen mampu menjadikannya sebagai sebuah bandar tersusun dan terancang.

“Ia dijangka mempu menjadi sebuah bandar pintar (smart city). Pembangunan ini merupakan usaha untuk merancakkan pembangunan Kelantan berasaskan Membangun Bersama Islam sehingga 2025.

“Pembangunan Islamic City atau Madinatul Salam di kawasan seluas 16 ekar untuk memenuhi citarasa Islam,” katanya kepada pemberita selepas selesai merasmikan majlis pecah tanah pembangunan Madinah Al-Salam, di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, projek pembangunan itu diharap mampu meningkatkan daya saing Kelantan dalam sektor ekonomi.

Selain itu kata beliau projek pembangunan tersebut diharap bergerak seiring dengan pelbagai projek utama yang melibatkan infrastruktur dan utiliti bakal merubah landskap Kelantan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sentiasa menekankan konsep pembangunan ekonomi dan sosial untuk mencapai kebajikan rakyat.

Sementara itu beliau juga berkata, rakyat di negeri itu tidak digalakkan untuk berbuka puasa di tempat awam dan tempat rekreasi sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita perlu mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk makan secara bungkus dan sebaik-baiknya hanya berbuka puasa nanti di rumah memandangkan negara dalam proses beralih kepada fasa endemik,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -