Pelabur yakin keupayaan kerajaan PN Kedah

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan sehingga RM68.3 bilion tahun lepas membuktikan keyakinan pelabur terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, pencapaian itu akan membawa kemakmuran kepada rakyat Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, kejayaan tersebut turut mendapat pujian daripada Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah ketika perasmian pembukaan Sidang Dun Ahad lalu.

- Advertisement -

“Kejayaan itu juga hasil usaha gigih semua pihak termasuk pegawai kerajaan, barisan Exco, Adun dan pelbagai pihak.

“Langkah kerajaan PN Kedah meneruskan projek kerajaan sebelum ini menunjukkan menteri besar lebih mengutamakan kemakmuran rakyat mengatasi batasan fahaman politik,” katanya di sini.

Siti Ashah yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, kejayaan yang berjaya diraih tersebut menunjukkan Kedah di bawah pentadbiran PN lebih stabil dan harmoni.

“Projek berskala besar yang dirancang sebelum ini seperti Kedah Rubber City dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dibangunkan untuk kebaikan,” tambah beliau.

Menurutnya juga pencapaian tersebut merupakan kejayaan besar ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Oleh itu kata beliau tiada sebab Dun Kedah perlu dibubarkan seperti dimomokkan setengah pihak yang tidak senang hati dengan kejayaan kerajaan sekarang.

“Dalam tempoh dua tahun pun pelbagai kejayaan dan kebajikan untuk rakyat dilaksanakan. Maka amat wajar sekali ia dikekalkan pada PRU akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2022

- Advertisement -