Tiada urusan penting usah seberangi sempadan negara

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Rakyat Kelantan dinasihatkan tidak melakukan pergerakan ke negara jiran sekiranya tiada urusan penting apabila sempadan negara dibuka 1 April ini.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, langkah itu bagi mengelakkan berlaku penularan semula wabak Covid-19.

Lagi pun katanya sekarang kes harian Covid-19 semakin rendah.

- Advertisement -

“Kita nasihat supaya pergerakan ke luar negara tidak berlaku untuk perkara yang tidak penting. Kalau tiada keperluan, tidak payahlah.

“Pembukaan sempadan negara bukan tiket untuk orang ramai melakukan aktiviti bebas sebagai sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas majlis ‘Jupo Mato Dengan Rakyat’ peringkat jajahan Tumpat di Kampung Baru Nelayan, di sini, hari ini.

Hadir sama anggota Exco Dato’ Sr Azami Mohd Nor, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha serta Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini selaras dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Menteri Besar juga berkata, dalam keadaan sekarang orang ramai mesti berhati-hati walaupun negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -