Kelantan peruntuk RM10 juta atasi banjir kilat

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menangani masalah banjir kilat yang berlaku khususnya di jajahan Kota Bharu.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menjalankan kerja-kerja mengurangkan impak akibat banjir kilat yang berlaku.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa lokasi akan dijalankan projek berkaitan termasuk menukar longkang dan pembersihan alur dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita berharap kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang ketika hujan lebat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu menteri besar menghadiri majlis ‘Jjupo Mato Dengan Rakyat’ peringkat jajahan Tumpat.

Pada majlis itu beliau turut mengisytiharan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan dekat sini.

Ahmad juga berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak menyukarkan penduduk untuk melakukan rutin harian termasuk mencari rezeki.

“Saya difahamkan antara lokasi yang menjadi tumpuan projek tersebut mengikut JPS iaitu di Kubang Kerian dan Ketereh yang sering berlaku kejadian banjir kilat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -