
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Negara memerlukan lebih ramai karyawan genius seperti Allahyarham Mamat Khalid yang mampu mengangkat kualiti seni negara sehingga ke tahap prestij yang diiktiraf oleh semua.
Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegur segelintir karyawan Melayu dan Islam yang mengambil langkah kebelakang dengan menyajikan kandungan bankrap idea dalam industri seni negara.
“Ini teguran kepada karyawan kita di luar sana, jangan bankrap idea dan jangan bawa perkara sebegini dalam industri dan hidangkan kepada rakyat,” katanya semasa membahaskan usul Titah Diraja, di Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kontroversi membabitkan trailer sebuah drama yang bakal di tayangkan stesen televisyen swasta berjudul ‘Perempuan Itu’ bersempena Ramadhan ini.
Drama ‘Perempuan Itu’ yang dibintangi pelakon tempatan Zul Ariffin dan Siti Hariesa menjadi kontroversi apabila Zul Ariffin memuat naik trailer di laman media sosialnya memaparkan adegan tidak senonoh kedua-dua pelakon itu.
Menurut Khairil, tindakan mempromosi adegan terkutuk yang tidak wajar dihidangkan kepada rakyat itu seolah mengundang kembali murka Allah SWT dikala negara sedang berdepan fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19.
Beliau bimbang jika budaya ini menjadi satu normalisasi dalam generasi muda yang jelas bertentangan dengan budaya ketimuran Melayu.
Katanya, amat ganjil situasi itu masih berlaku di kala kebanyakan rakyat Malaysia kini semakin dekat dengan khazanah ilmu dan kebudayaan Islam.
Justeru, beliau meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberi satu jalan keluar dan jaminan perkara sama tidak berulang dalam industri seni negara.
“Apakah jaminan atau bentuk peruntukan undang-undang yang ada dalam negara kita yang boleh memastikan agar perbuatan yang terkutuk seperti ini tidak lagi diulang oleh pemain industri kreatif atau produksi dalam negara kita?
“Saya dimaklumkan pelakon-pelakon tersebut telah dipanggil kementerian, kita tidak mahu kepada tindakan yang bersifat sebegini, kita mahu tahu apakan tindakan pencegahan yang boleh diambil supaya perkara ini tidak berulang?” soalnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2022











