
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminimakan manipulasi orang tengah bagi mengelakkan kenaikan harga barang serta menekan harga di peringkat pengeluar tanpa menafikan peranan mereka.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ke atas kempen Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT) pada 2015 mendapati orang tengah mempunyai peranan tersendiri dalam menambah baik kecekapan di sepanjang rantaian nilai industri pertanian.
Katanya, petani dan nelayan sebenarnya tidak keberatan memilih untuk berurusan dengan orang tengah atas faktor memudahkan urusan penjualan, memberikan jaminan pasaran serta pembayaran yang cepat.
“Peranan utama orang tengah adalah dalam membantu pemasaran, memberikan bantuan kredit dan menyediakan perkhidmatan logistik.
“Bagaimanapun, MAFI menyedari kewujudan terlalu banyak lapisan orang tengah akan menyebabkan kenaikan harga barang makanan di samping secara tidak langsung menekan harga di peringkat pengeluar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Dr Nik Zawawi, terlalu banyak lapisan orang tengah akan menyebabkan pengeluar memperolehi harga yang rendah, sedangkan pengguna pula terpaksa membeli dengan harga yang mahal.
Justeru katanya, MAFI berpendirian untuk mengurangkan lapisan orang tengah tanpa menafikan peranan mereka yang boleh membantu dalam kecekapan pengedaran hasil tani yang cepat rosak dan tidak tahan lama.
Katanya, antara pendekatan MAFI adalah mengadakan kerjasama strategik bersama usahawan peruncit bagi menyediakan outlet pemasaran, menyediakan infrastuktur pemasaran untuk kegunaan usahawan dan melaksanakan belian terus di pusat operasi sekiranya perlu.
Selain itu katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membangunkan usahawan pemasaran dengan kolaborasi usahawan kontrak pemasaran dan memperkasakan usahawan dengan pengetahuan dan informasi bagi meningkatkan kuasa negosiasi. – HARAKAHDAILY 24/3/2022











