
Oleh MUHAMMAD ARIS ISMAIL
KOTA BHARU: Pembinaan kilang ‘liquid nitrogen durian’ dijangka dapat mengatasi lambakan raja buah itu kerana ia mampu bertahan sehingga tempoh dua tahun.
Pengerusi Persatuan Usahawan Durian Kelantan, Abdul Rahim Muhammad berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan durian Musang King dan Duri Hitam dapat tahan lama untuk dieksport ke luar negara.
Katanya, durian spesis terbabit sesuai untuk pasaran eksport dan dapat mengelakkan lambakan apabila ada kilang yang menggunakan teknologi tersebut.
“Apabila ada kilang harga durian tidak akan berlaku kejatuhan sehingga boleh menjejaskan pekebun-pekebun kecil.
“Jadi kita minta kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan kilang tersebut kerana ia sudah menjadi satu keperluan di Kelantan sekarang.
“Pekebun kecil juga tidak akan bimbang berlaku lambakan dan buah mudah rosak,” katanya selepas pertemuan dengan anggota Exco kerajaan negeri Tuan Saripudin Tuan Ismail di Mabna MBI di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan terbabit Mohamad Lotfi Yusoff, setiausaha Zainal Abidin Husin dan tujuh ahli jawatankuasanya.
Persatuan Usahawan Durian Kelantan ditubuh tahun lalu dan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Persatuan itu digerak 500 usahawan pekebun kecil durian yang mengusahakan durian Musang King dan Duri Hitam di kawasan seluas kira-kira 2,500 ekar.
Kerajaan negeri sebelum ini merancang membina kilang sejuk beku yang melibatkan kos kira-kira RM1 juta.
Abdul Rahim berkata, pihaknya difahamkan tapak kilang tersebut dikenal pasti di Jeli dan Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 22/3/2022




















