
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah pihak tidak bertanggungjawab dikenal pasti antara punca ramai rakyat Kelantan tidak mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.
Berikutan itu, kadar pengambilan dos penggalak di negeri itu antara yang terendah di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.
Beliau berkata setakat kelmarin hanya 24.4 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi dewasa di Kelantan menerima dos penggalak Covid-19.
“Sehingga kini, kita (Kelantan) paling rendah ambil vaksin, sedangkan pada April ini, kita sudah memasuki fasa peralihan endemik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Pesisir Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Kundor di sini semalam.
Seramai 1,000 peserta terdiri daripada anggota badan bukan kerajaan (NGO), pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi kerajaan terbabit dalam program berkenaan.
Justeru itu Dr Izani meminta rakyat negeri itu mengabaikan dakyah berkenaan dan segera mendapatkan suntikan dos penggalak bagi mengurangkan kesan lebih serius apabila dijangkiti Covid-19.
Beliau turut mengingatkan rakyat negeri itu supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 terutama apabila negara ini memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April depan. – HARAKAHDAILY 20/3/2022




















