Kompleks PAS Kedah enam tingkat siap sepenuhnya

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kompleks PAS Kedah setinggi enam tingkat kini sudah siap sepenuhnya yang menempatkan pejabat pentadbiran PAS negeri dan dewan-dewan.

Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad berkata, semua pejabat pentadbiran akan berpindah ke tingkat tiga, termasuk bilik Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya.

Katanya, bilik mesyuarat lama di aras dua sebelum ini akan dijadikan bilik seminar dan pejabat Dewan Pemuda PAS Kedah.

- Advertisement -

Kata beliau aras satu akan dijadikan studio dan bilik media.

“Jabatan Pilihan Raya PAS Kedah juga akan berpindah ke aras satu,” katanya di sini.

Kata Musoddak, musolla yang boleh menempatkan 100 jemaah juga disediakan di tingkat empat bersebelahan bilik mesyuarat.

Selain itu bilik mesyuarat dan seminar boleh menampung sehingga 200 peserta pada satu-satu masa.

“Kita juga menyediakan kafeteria yang boleh memuatkan 100 orang di tingkat lima. Kompleks PAS Kedah turut menyediakan bilik tumpangan ala hotel dengan kadar bayaran berpatutan di tingkat lima,” ujarnya.

Menurutnya juga perasmian kompleks terbabit akan disempurnakan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada malam 18 Mac ini.

Manakala pada 19 Mac pula akan dijadikan lokasi mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Kompleks PAS Kedah juga akan menjadi tempat Muktamar Tahunan PAS ke-68 tahun ini. – HARAKAHDAILY 17/3/2022

- Advertisement -