
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Mydin Tunjong yang merupakan rangkaian pemborong dan runcit halal terbesar menyasarkan sebanyak RM20 juta hasil jualan dalam tempoh sebulan.
Pengarah Urusan Mydin, Dato’ Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, di samping itu pihaknya membantu merancakkan ekonomi tempatan.
Katanya, pembukaan cawangan baru itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat terutama setelah kerajaan membuka sektor ekonomi sepenuhnya.
“Di sebalik kemelut ekonomi yang tidak menentu ekoran pendemik Covid-19, Mydin mengambil langkah berani membantu Keluarga Malaysia dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Saya berharap dengan pembukan cawangan ini mampu memberi nafas kepada peniaga, usahawan kecil, pembekal dan rakyat negeri ini untuk mendapat barangan pada harga borong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita seleps perasmian pembukaan cawangan baharu Mydin ke-67 yang terbesar di Malaysia di sini hari ini.
Pasaraya terbesar terbabit mempunyai tiga tingkat dengan keluasan hampir satu juta kaki persegi dibina melibatkan kos hampir RM 250 juta.
Mydin juga menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan lebih 400 peluang perniagaan khusus kepada penduduk tempatan.
Pelbagai fasiliti menarik disediakan antaranya surau dua tingkat, medan selera, lot kedai serta kios, bazar dan hypermarket.
Ameer Ali juga berkata, Mydin Tunjong turut mengetengahkan hasil produk keluaran usahawan tempatan dengan adanya Bazar Siti Hawa yang menjual pelbagai produk tempatan termasuk pakaian, makanan dan hasil kraf tangan. – HARAKAHDAILY 10/3/2022











