
TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah menyemarakkan Sambutan Minggu Al-Quds dengan mengadakan Konvoi Al-Quds khususnya melibatkan penyertaan anak muda bermotosikal, baru-baru ini.
Konvoi daripada Temerloh ke Kuantan itu telah dijayakan bersama oleh kendalian Alternative Riding Club (ARC) dan Alternative 4X4 Club (A4C) bertujuan mencetuskan kesedaran dan kebersamaan terhadap perjuangan Al-Quds.
Para peserta dilepaskan bermula selepas solat Zohor berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini sebelum bergerak ke Kuantan menerusi gimik pelepasan oleh Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus.
“Walaupun usaha ini nampak kecil, tetapi pada hakikatnya ia suatu perkara yang besar untuk menunjukkan soladariti kita buat saudara-saudara seislam kita di bumi Gaza.
“Ini kerana perjuangan kita di bumi Gaza bukanlah suatu perjuangan yang bermusim, tetapi ia menuntut kita terus berjuang untuk membebaskan Al-Quds,” ujar Md Jusoh.
Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Temerloh, Azizul Hakimi Hasan juga turut bersama-sama dalam konvoi tersebut usaha ARC dan A4C Temerloh mengumpulkan anak muda menyertai konvoi itu.
“Ini menunjukkan Dewan Pemuda Pas Kawasan Temerloh tidak pernah sesekali mengabaikan anak-anak muda yang berminat dengan sukan permotoran.
“Insya-Allah pada masa akan datang kita akan menganjurkan lagi konvoi yang berskala lebih besar untuk kumpul seramai mungkin anak muda Temerloh yang berminat dengan sukan permotoran.
“Apa yang penting adalah Kita dapat rapatkan ukhwah di antara satu sama lain walaupun kali pertama berjumpa,” ujarnya.
Menurut Pengarah ARC Temerloh, Mohd Amin Abd Hamid, pihaknya telah berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya 80 anak muda pemilik motor yang berminat menyertai bersama konvoi pada kali ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2022















