
Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 32)
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
UMAR bin Shabbah berkata: Amru bin Al-As berkata kepada seorang lelaki dari Tajib: Hei munafiq!. Lelaki Tajib menjawab: Aku tak pernah jadi munafik semenjak aku masuk Islam. Aku tak basuh kepala dan sapu minyak hingga aku bertemu Umar.
Dia datang kepada Umar. Katanya: Wahai Amir al-Mukminin! Amru memanggil aku munafiq, sedangkan demi Allah! Aku tak pernah munafiq semenjak aku masuk Islam.
Umar menulis surat kepada Amru bin Al-As. Bila Umar marah, dia akan tulis ‘العاصي بن العاصي (Orang yang berdosa bin orang yang berdosa): Si fulan mengadu engkau menggelarkannya munafiq. Aku suruh dia sebat engkau 40 atau 70 sebatan, jika dia ada dua orang saksi.
Lelaki Tajib bangun, lalu berkata: Aku seru dengan nama Allah! Sesiapa yang dengar Amru gelar aku munafiq, sila bangun dan jadi saksi.
Majoriti mereka di dalam masjid bangun.
Ada yang berkata: Adakah kamu mahu merotan ketua kamu?
Dia membalas: Aku tak rasa perlu taat di sini.
Apabila lelaki Tajib itu enggan menarik balik kata-katanya, Amru bin Al-As berkata: Biarkan dia. Amru duduk di hadapannya dan membiarkannya membalasnya.
Lelaki Tajib bertanya: Adakah engkau mampu menolak aku dengan kekuasaanmu?
Amru menjawab: Tidak. Teruskan apa yang disuruh.
Lelaki Tajib menjawab: Aku tidak mahu balas kerana Allah. (Sejarah Umar bin al-Khattab, Ibn Al-Jauzi ms 116)
Beberapa pengajaran dari kisah di atas:
i) memanggil orang lain dengan gelaran munafiq dan yang sepertinya adalah satu perkara yang sensitif.
ii) mereka yang merasakan dirinya dizalimi boleh mengadu kepada pemerintah menurut salurannya yang sesuai.
iii) balasan yang setimpal dikenakan kepada mereka yang bersalah tanpa mengira status dalam masyarakat.
iv) taat kepada pemimpin hanya dalam perkara yang baik.
v) mereka yang dizalimi ada hak memaafkan terhadap orang yang menzalimi mereka. – HARAKAHDAILY 3/3/2022
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.











