
KANGAR: Skim Perlindungan Ahli PAS (SkimPAS) yang diperkenal Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat pada 2014 memberi banyak manfaat kepada ahli-ahli PAS.
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Perlis, Wan Hassan Ismail berkata, manfaat diperolehi apabila ditimpa musibah seperti kemalangan atau kematian.
“Dengan hanya mencarum sebanyak RM55 setahun, pelbagai manfaat akan diperoleh, sekali gus dapat meringankan beban waris,” katanya selepas menyerah manfaat SkimPAS kepada keluarga Allahyarham Mohd Nizuan Nawi di Kampung Abi Padang Machang dekat sini semalam.
Allahyarham Mohd Nizuan yang merupakan aktivis PAS meninggal dunia pada 24 Oktober lepas.
Cek bernilai RM10,000 disampaikan kepada balu arwah yang juga wartawan Harakah Cawangan Perlis Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif.
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Negeri Asrul Aimran Abd Jalil, Ketua Dewan Muslimat PAS Kangar Nor Hasmayati Che Me dan Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Kangar Che Kamariah Che Kassim.
Wan Hassan juga berkata, dengan hanya mencarum RM55 setahun, pelbagai manfaat diterima keluarga pencarum. – HARAKAHDAILY 2/3/2022











