
HARI ini (semalam) saya telah menjawab soalan tambahan dari sahabat saya YB Tuan Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz (Bachok), berkenaan pelan penjualan aset-aset TH Plantations secara besar-besaran yang telah dirancang oleh Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.
Sekali lagi saya tegaskan di dalam dewan yang mulia, kerajaan hari ini komited dalam memulih dan membangun semula aset-aset Tabung Haji setelah kami hentikan pelan penjualan tersebut.
Semasa lawatan kerja saya ke Sabah baru-baru ini saya telah melawat ladang-ladang milik anak syarikat Tabung Haji ini. Nampaknya banyak lagi yang perlu dibuat setelah ianya dibiarkan tidak terjaga dan dibaja selama hampir 2 tahun semasa kerajaan dahulu kerana ingin dijual. Kami tekad membangunkan semula potensi aset-aset milik Tabung Haji ini agar nikmatnya dapat dirasai oleh lebih 9 juta pendeposit Tabung Haji dan rakyat Malaysia.
Tabung Haji amat dekat di hati umat Islam di Malaysia. Ladang-ladang TH Plantations yang banyak berada di lokasi pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini bukan semata demi mengejar keuntungan yang ditunjukkan melalui angka-angka. Kewujudan ladang-ladang Tabung Haji ini telah banyak membawa limpahan ekonomi dan kemudahan infrastruktur kepada penduduk setempat seperti sekolah, klinik, balai raya dan jalan walaupun tidak seberapa.
Melihatkan perkara ini, saya sedar ladang-ladang dan aset-aset milik umat Islam ini perlu dipertahankan dan dibangunkan bukan hanya kerana mengejar untung, tetapi ianya lebih daripada itu, iaitu tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia jua.
Alhamdulillah, keputusan kami untuk membatalkan penjualan Ladang Bumi Suria Venture kepada Tamaco yang menjadi kontroversi satu masa dahulu dan mengkaji semula pelan penjualan ladang-ladang lain yang telah diputuskan untuk dijual adalah tepat, dan telah membuahkan hasil:
Maka hari ini telah terbukti, naratif yang dimainkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dahulu, jika tidak dijual ladang-ladang ini ianya akan membuatkan syarikat TH Plantations ini muflis adalah penipuan semata-mata.
Namun begitu, pada hari ini ladang-ladang yang dikatakan sakit ini telah membuahkan hasil dan menjana produktiviti yang memberangsangkan ketika mana harga CPO sekarang ini mencecah sehingga RM7,000 per metrik tan.
Di sini, suka saya kongsikan petunjuk perbandingan prestasi TH Plantations dari tahun 2018 hingga 2021 yang mana pendapatan TH Plantations telah meningkat hampir sekali ganda pada tahun 2021 berbanding tahun 2018.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 2/3/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/514426283577750/





















