
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun, Nihon Superior Co Ltd bagi meneroka projek penyelidikan bahan penyambungan elektronik baharu.
Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli berkata, jalinan kerjasama melalui Tehnopreneur UniMAP Sdn Bhd (TUSB) dengan syarikat berkenaan bermula sejak 2012.
Katanya hampir RM2 juta disalurkan sebagai dana penyelidikan di samping sembilan pelajar sarjana dan kedoktoran yang ditaja sehingga sekarang.
“Hasilnya kita berjaya membantu Nihon Superior dalam pembangunan bahan pateri serta penambahbaikan proses pembuatan bahan pateri sedia ada,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah TUSB, Shahruddin Othman; Pengarah TUSB Dr Mujahir Ab Rahim; Pengarah Urusan Nihon Superior Yuji Kozutsumi dan Pengurus R&D Nihon Superior, Pavithiran Narayanan.
Syarikat terbabit berpangkalan di Osaka, Jepun mempunyai kilang pembuatan di Jelapang, Ipoh.
Dr Zaliman juga berkata, syarikat turut bersetuju meneroka projek pembuatan bahan penyambungan elektronik bersifat pengalir bagi aplikasi peralatan perubatan dan komunikasi bersama penyelidik UniMAP diketuai Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.
Menurutnya kerjasama itu membuktikan UniMAP mampu membuka peluang dengan pihak industri termasuk berkaitan pemindahan kepakaran dan teknologi bagi keperluan negara.
“Kerjasama ini juga membuktikan komitmen universiti dalam menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan pemindahan ilmu berimpak tinggi dengan memperkasakan UniMAP4Society.
“Bagi projek penyelidikan ini, mereka akan menyalur geran penyelidikan berjumlah RM313,000 dan menaja seorang pelajar untuk mengikuti program pengajian kedoktoran di UniMAP.
“Termasuk juga menampung kos kumpulan penyelidik menjalankan aktiviti perincian bahan menggunakan beberapa peralatan termaju di Jepun,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2022











