Rumah kami dibawa arus banjir Ahad lalu – penduduk

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Pilu dan meruntun jiwa apabila enam keluarga di Kampung Tersang, Rantau Panjang dekat sini kehilangan rumah apabila hanyut dibawa arus banjir.

Apa tidaknya. Bukan sahaja segala harta benda musnah sekelip mata, malah rumah yang menjadi tempat berteduh juga dibawa arus deras.

Penduduk terbabit Che Hasniza Che Omar, 45 meluahkan rasa sedih setelah menerima berita rumah pusaka miliknya yang didiami hampir 30 tahun hilang dibawa arus banjir.

- Advertisement -

Beliau yang mempunyai enam anak berkata, mereka kini buntu memikirkan masa depan kerana tempat untuk mereka berteduh sudah tidak ada.

Kini tiada lagi tempat Che Hasniza bergantung harap melainkan pihak kerajaan dan pelbagai pihak untuk membolehkan keluarganya membina penghidupan baru.

“Untuk membina semula rumah baharu sudah pasti kami tidak mampu memandangkan pendapatan suami saya sekadar cukup membeli keperluan harian.

“Rumah kami dibawa arus banjir pada Ahad lalu setelah dimaklumkan jiran ketika saya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

“Kami berpindah ke PPS setelah rumah mulai ditenggelami banjir. Keesokan hari jiran saya memaklumkan rumah saya telah hanyut,” katanya tidak dapat menahan pilu ketika ditemui hari ini.

Menurutnya selepas menerima berita tiada kata-kata mampu diungkap, melainkan air mata membasahi pipinya. Sekarang hanya tinggal tapak rumahnya di Kampung Tersang.

Seorang lagi penduduk, Ramlah Mohd, 63 berkata, adiknya Mohd Huraini Mohd, 40 turut berdepan dengan musibah sama apabila rumah pusaka yang didiami bersama emaknya turut hanyut dibawa arus.

Katanya, banjir kali ini merupakan pengalaman terburuk sehingga keluarganya kehilangan tempat tinggal.

“Sepanjang puluhan tahun saya tinggal di sini, ini merupakan banjir terburuk setakat ini sehingga memusnahkan rumah pusaka milik adik saya.

“Rata-rata penduduk mendakwa banjir yang berlaku agak teruk ada kaitan dengan projek pembinaan benteng tebatan banjir di Kampung Lanchang Fasa 1 yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Jefny Muhammad ketika ditanya mengenai dakwaan penduduk terbabit, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan itu.

Katanya MKN akan mendapat maklumat lanjut daripada Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) mengenai pembinaan projek tebatan berkenaan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat MKN pada Khamis ini dengan beberapa agensi terlibat. Kita juga akan meminta JPS untuk membentangkan kaedah untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -