Menteri nafi banjir ada kaitan projek tebatan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Limpahan aliran banjir dari lima wilayah di selatan Thailand turut menjadi salah satu punca berlakunya banjir di sempadan Kelantan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun, menyangkal dakwaan segelintir penduduk mengatakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menjadi antara faktor utama berlakunya banjir di negeri itu.

“Jadi bukan sebab projek tebatan. Ini disahkan apabila lima wilayah di Thailand banjir teruk, yang menyebabkan air mengalir ke Sungai Golok. Walaupun Thailand sudah ada benteng, tapi tetap berlaku banjir.

“Dan banjir berlaku di Thailand pun membabitkan lima wilayah di sana, jadi air ini mengalir ke Sungai Golok, yang menyebabkan limpahan. Bukan sebab projek benteng, itu tak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan ke kawasan banjir di Pusar Bantuan Asnaf, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pembinaan benteng sebenarnya berjaya mengurangkan impak banjir di beberapa tempat lain.

Justeru itu, projek berkenaan perlu disiapkan dengan sebaik mungkin untuk mengelak limpahan air dari Sungai Golok yang menjadi antara salah satu sebab setiap tahun berlaku banjir di Rantau Panjang.

“Sebab itu kita ingin siapkan benteng supaya untuk mengelakkan limpahan air Sungai Golok yang setiap tahun berlaku sehingga menyebabkan berlaku banjir.

“Jabatan Pergairan dan Saliran (JPS) diminta menghantar kelengkapan untuk mempercepatkan proses pam air banjir ke Sungai Golok. Tapi kalau paras Sungai Golok masih tinggi kita tidak dapat lakukan. Kalau masih tinggi kita kena tunggu, apa pun kita akan cuba bantu sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan, perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) Fasa 1 dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Kita dalam proses menyiapkan fasa 1 projek Kesban, iaitu kita buat tembok untuk menghalang air daripada Sungai Golok yang biasanya menyebabkan berlaku banjir besar. Fasa 1 Kesban dalam proses dan jangka siap tahun depan.

“Manakala, fasa 2, kita ada dua projek besar iaitu satu melibatkan lebih kurang RM265 juta untuk bina ‘flood wall’ bagi mencegah banjir di bandar Rantau Panjang dan pihak kementerian dan JPS kenal pasti kawasan tersebut, kita sudah luluskan dan di peringkat design dan tender.

“Yang kedua, pembinaan benteng bagi fasa 2, bagi melengkapkan pakej Kesban fasa 2. Kita yakin dengan adanya tiga projek ini ia dapat mengurang atau meminimakan impak banjir terutamanya di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -