PRN jadi agenda BN tadbir Johor secara sendirian

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan tidak dapat ditolak kemungkinan Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu mentadbir negeri itu secara sendirian.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemenangan di Johor boleh memberi peluang BN mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lebih awal.

Katanya, parti itu juga mahu memastikan mereka menguasai kuasa kerajaan Pusat secara sendirian.

- Advertisement -

“Saya sudah cakap perkara itu di Johor sedikit masa lalu dan tak mahu ulang lagi,” kata beliau selepas merasmikan perhimpunan pagi di Wisma Darul Aman, semalam.

Oleh itu katanya rakyat Johor disaran perlu membuat pilihan terbaik menjelang PRN 12 Mac ini dengan menilai secara matang.

Apatah lagi menurutnya dalam suasana ‘langit terbuka’ sekarang di mana setiap perkara yang berlaku mudah diketahui umum.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, peluang mana-mana parti yang bertanding agak sukar diramal.

“Masing-masing ada peluang sama ada Perikatan Nasional (PN), BN, Pakatan Harapan (PH), Bebas atau mana-mana parti. Jadi terpulang kepada rakyat Johor untuk buat pilihan,” ujarnya.

Kata beliau juga PRN itu memberi peluang rakyat Johor untuk memilih kerajaan negeri yang mampu membawa kesejahteraan kehidupan mereka.

Menurutnya juga PAS mengenengahkan calon-calon yang berwibawa dari pelbagai latar belakang, di mana sebahagiannya merupakan golongan muda, bertanding atas tiket PN.

“Saya yakin mereka mampu memimpin generasi muda. Begitu juga calon golongan berumur mempunyai banyak pengalaman,” katanya yang juga Pengerusi PN Kedah. – HARAKAHDAILY 28/2/2022

- Advertisement -