MAFI bantu 500 penanam tembikai ditenggelami air

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membantu kira-kira 500 penanam tembikai di jajahan Pasir Puteh dan Bachok yang mengalami kerugian akibat tanaman mereka ditenggelami air.

Timbalan Menteri MAFI Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, petani terbabit difahamkan menanggung kerugian hampir RM2 juta akibat tanaman mereka rosak ditenggelami air minggu lepas.

- Advertisement -

Katanya, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan diarah
membuat bancian bagi mengenal pasti petani yang terjejas.

“Bantuan yang akan diberi turut mengambil kira petani yang berhutang bagi tujuan membajak tanah, membeli racun dan baja yang memerlukan modal agak besar,” katanya selepas menyampaikan bantuan MAFI Prihatin di sini hari ini.

Turut hadir Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi (LPP) Nik Shaharil Nik Md Hashim.

Dr Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, hujan lebat berterusan selama tiga hari tidak dapat dialirkan ke sungai berdekatan disebabkan paras air laut ketika itu tinggi.

Menurutnya juga pengeluaran tembikai yang dihasilkan di dua kawasan seluas 400 hektar tersebut dapat menampung keperluan tembikai di seluruh negara.

“Tembikai yang dikeluarkan petani terbabit berkualiti tinggi kerana mempunyai tanah yang subur,” katanya.

Bagaimanapun katanya masalah itu tidak menjejaskan bekalan tembikar pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti memandangkan ada kawasan lain yang tidak terjejas. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -