
Oleh NOR HAZWANI NOH
KOTA TINGGI: Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor optimis pengundi muda bijak membuat pilihan bagi menentukan masa depan kepimpinan negeri.
Ketua Penerangannya, Normala Sudirman berkata dengan maklumat di hujung jari anak muda akan membuat penilaian berdasarkan penelitian terhadap apa jua senario politik pada masa kini.
“Anak muda zaman milenium kini terdedah dengan teknologi maklumat di langit terbuka.
“Kami optimis mereka bijak membuat pilihan dan berani membuat anjakan paradigma untuk menentukan masa depan kepimpinan negeri Johor,” katanya kepada Harakahdaily Ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, pihaknya akan berkempen menerusi sentuhan naluri keibuan dan kewanitaan serta jiwa remaja.
“Kempen kali ini dibenarkan mengadakan ceramah tidak melebihi minimum 100 orang. Jadi melalui ceramah kelompok, kami lebih mudah menghimpunkan muslimat secara bersasar.
“Bagi DUN yang ditandingi oleh muslimat pula sudah pasti cara berkempen dengan menyentuh naluri keibuan dan kewanitaan serta jiwa remaja akan cuba diberikan sebaik mungkin untuk memikat hati pengundi wanita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022











