
Oleh EVA NATASHA SADALI
JOHOR BAHRU: Jentera PAS setiap negeri diarahkan melakukan persediaan bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden PAS, Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad, berkata itu antara intipati yang dibincangkan di dalam Mesyuarat PAS Pusat sempena PRN Johor nanti.
Katanya, semua jentera negeri diminta bekerjasama dan bersatu dalam PRN Johor bagi memastikan calon daripada PN mencapai kemenangan.
“Mesyuarat tadi kita bincang tentang perjalanan PRN Johor dan persiapan untuk negeri-negeri semua.
“Setiap negeri diarahkan untuk bersatu dalam PRN Johor bagi memastikan kemenangan calon daripada PN,” katanya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat PAS Pusat di Pejabat Perhubungan PAS Johor, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai cabaran bagi menarik pengundi muda, katanya pelbagai program mesra anak muda akan diadakan dalam usaha menarik minat golongan berkenaan.
“Kita ada dekat 170,000 pengundi yang berumur 18 hingga 21 tahun daripada 700,000 lebih. Jadi ini program yang akan kita serahkan kepada anak muda dan semalam apabila program pelancaran PN di Kota Tinggi, alhamdulillah nampak kehadiran dalam kalangan anak-anak muda nampak ramai,” ujarnya.
Beliau berkata, ia merupakan satu permulaan yang baik dalam melihat sokongan orang ramai terhadap PN, yang memberikan petunjuk positif dalam PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022











