Remaja meninggal bukan kerana dos penggalak

Datuk Dr Rose Nani Mudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin memberikan maklum balas kepada isu yang diviralkan dalam WhatsApps berkenaan seorang remaja yang meninggal dunia akibat dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jabatan itu telah membuat siasatan dengan segera dan mendapati isu yang dlviralkan adalah palsu di mana pesakit telah meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Menurutnya, punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa.

- Advertisement -

Katanya, keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenal punca kematian dengan baik.

Tambahnya, siasatan juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021.

Jelas beliau, ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.

Sehubungan dengan itu, ujarnya satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari lalu yang menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19.

“Beliau juga menafikan bahawa ahli keluarga membuat penularan dalam aplikasi WhatsApps mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, hari ini.

Tambahnya, pihak Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi WhatsApps oleh individu­individu yang tidak bertanggungjawab.

“Jabatan ini menggesa kepada semua rakyat Sabah agar tidak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang lain yang bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga dan tindakan undang­undang boleh diambil terhadap individu berkenaan atas tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri bersimpati dengan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti itu tidak berlaku pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -