Pemuda Temerloh cakna kebajikan warga PASTI

- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh telah menyampaikan sumbangan kepada 80 murid PASTI dalam kalangan keluarga mangsa banjir pada kejadian yang berlaku hujung tahun lalu.

Serahan sumbangan yang ditaja Pertubuhan Komuniti dan Masyarakat Sejahtera Temerloh ini telah diadakan dalam satu majlis sempena Mesyuarat Agung Majlis Guru PASTI Temerloh di Balai Islam Sungai Gau, di sini semalam.

- Advertisement -

Hadir pada majlis ini adalah Ketua Pemuda PAS Temerloh, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan Timbalan Pengarah PASTI Negeri Pahang, Rohaimi Roslan serta Pengerusi PASTI Temerloh, Ustaz Zulkefli Yusof.

Shukri dalam ucapannya mengharap para guru terus mengikhlaskan diri dalam memberikan didikan dan bimbingan kepada murid-murid yang merupakan aset berharga untuk kepimpinan negara di masa depan.

Menurutnya juga, pihak beliau turut komited memastikan kebajikan para guru sentiasa diberi perhatian dan berharap serahan sumbangan peralatan sekolah itu akan meringankan beban murid-murid.

Manakala Rohaimi dalam ucapannya berharap para guru juga dapat memberikan komitmen terhadap program diatur pihak PASTI melibatkan keilmuan dan tarbiyah seperti usrah, bengkel dan sebagainya.

Pemuda PAS Temerloh turut meraikan 80 murid dalam kalangan keluarga mangsa banjir tersebut pada program ‘Back To School’ yang dilaksanakan secara pandu lalu (drive thru) juga di Balai Islam Sungai Gau, di sini.

Sumbangan adalah berupa peralatan sekolah seperti beg, alat tulis dan lain-lain lagi bagi meringankan beban mereka atas kemusnahan yang telah terjadi akibat daripada banjir dialami mereka hujung tahun lalu.

Menurut Ustaz Zulkefli, sumbangan itu adalah untuk menunjukkan kebersamaan warga pengurusan PASTI dengan murid-murid tersebut dan keluarga mereka kesan daripada musibah yang menimpa itu.

Seorang penjaga, Hafis Ramena mewakili ibu bapa berharap pemberian tersebut mengembalikan motivasi dan kegembiraan anak-anak mereka untuk meneruskan sesi persekolahan seterusnya. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -