Institut Latihan PASTI gabung guru, pengurus

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto ABU ANAS

MELAKA:
Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Malaysia pada sesi ini telah berjaya menubuhkan Institut Latihan PASTI Malaysia, kata Ketua Pengarahnya, Ustaz Damanhuri Dol.

Menurut beliau institut latihan itu akan menggabungkan dua entiti besar dalam PASTI iaitu guru dan pengurus bagi menyediakan latihan untuk memperkasakan kedua-duanya.

“Sebelum ini kita hanya ada Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM). Tetapi kali ini wujudkan dengan kita rebrandingkan nama baharu dengan kita menggabungkan dua entiti besar dalam PASTI iaitu guru-guru dan juga pengurus.

- Advertisement -

“Sebab kita nak tengok, dengan kita berjaya memperkasakan pengurus-pengurus ini saya yakin insya-Allah, dapatlah kita uruskan (PASTI) dengan lebih baik lagi,” ujar beliau.

Damanhuri percaya dengan memperkasakan kedua-dua entiti itu maka ia akan dapat merealisasikan hasrat untuk menjadikan PASTI sebagai pilihan utama masyarakat dalam negara ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program Sambutan Tiga Dekad PASTI Melaka yang berlangsung di Bayou Lagoon Resort, Bukit Katil, di sini, semalam.

Dalam ucapannya itu beliau turut menzahirkan keterujaan atas kehadiran mantan Ketua Pengarah PASTI, Cikgu Azrin Abdul Majid yang memegang jawatan itu selama 11 tahun bermula tahun 2000 sehingga tahun 2011.

“Sebenarnya salah seorang jemputan yang hadir pada hari ini, beliau bukan semata berada di peringkat negeri Melaka, beliau merupakan mantan Ketua Pengarah PASTI Malaysia iaitu Cikgu Azrin. Lama dah tak jumpa sebenarnya. Jadi alhamdulillah hari ini jumpa di sini,” kata beliau.

Cikgu Azrin yang juga merupakan mantan Pengarah PASTI Melaka bagi tahun 1995 hingga 1998 itu diraikan dalam majlis itu bersama-sama dengan sembilan lagi mantan pemegang jawatan itu semenjak penubuhannya pada penghujung 80-an.

Mantan Ketua Pengarah PASTI itu menyertai Parti Amanah Negara semasa parti serpihan PAS itu ditubuhkan selepas krisis parti pada tahun 2015 dan baru-baru ini menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 15 di DUN Merlimau atas tiket Amanah.

Turut mencuri tumpuan di dalam majlis ini ialah kehadiran Datuk Ustaz Rahimin Bani yang merupakan mantan Pengarah PASTI Melaka dari tahun 1989 hingga 1991.

Ustaz Rahimin yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Melaka era 80-an adalah bekas pegawai kanan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang kisahnya pernah menjadi kontroversi apabila tidak disambung kontrak semasa era pemerintahan Pakatan Harapan di negeri ini.

Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman mewakili Pesuruhjaya, Ketua Pemuda negeri, Ustaz Al Afiz Yahya, Pengarah PASTI negeri, Ustaz Norfaizal Nordin dan Pengerusi Majlis Guru PASTI negeri, Habibah Yaacob.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin dan pimpinan Dewan Pemuda PAS dan PASTI Melaka.

Sementara itu, di dalam majlis yang sama seorang guru PASTI dari Kawasan Jasin, Ustazah Norzalina Hamid telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru PASTI Negeri Melaka 2021.

Beliau yang pernah dianugerahkan guru cemerlang kawasan Jasin pada tahun 2019 dan merupakan ibu kepada dua orang anak perempuan dan tiga orang anak lelaki ini mula berkhidmat di PASTI As-Salam Jasin pada tahun 2010.

Bagi Anugerah Perkhidmatan Guru Paling Lama pula diberikan kepada Ustazah Gayah Yusoh daripada PASTI Kawasan Masjid Tanah.

Ustazah Gayah yang mula berkhidmat pada tahun 1993 di PASTI Luqman Al Hakim Masjid Tanah adalah merupakan pemegang Diploma Pendidikan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak daripada Universiti Utara Malaysia.

Selain itu Anugerah Jasamu Dikenang turut diberikan kepada mantan-mantan Timbalan Pengarah, Pengerusi Majlis Guru, Setiausaha Kerja Negeri dan guru-guru yang telah berkhidmat lebih 10 dan 20 tahun.

Majlis turut menyampaikan hadiah-hadiah bagi murid-murid PASTI yang mendapat tempat dalam pertandingan e-Alam Ria peringkat Negeri Melaka dan Pertandingan Tiru Gaya Tokoh sempena Hari Kebangsaan tahun lepas. – HARAKAHDAILY 30/1/2022

- Advertisement -