
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC), peniaga dan beberapa tokoh masyarakat kaum Tionghua diraikan PAS Perlis sempena sambutan Tahun Baru Cina esok.
Antara guru dan kakitangan sekolah yang diraikan termasuk SJKC Hwa Aik, Arau, SJKC Sin Min, Pauh dan SJKC Kong Aik, Mata Ayer.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keharmonian kaum di Malaysia perlu sentiasa disuburkan menerusi program edaran kuih baulu berbentuk ikan kepada masyarakat terbabit.
Katanya, baulu bentuk ikan disifatkan masyarakat terbabit sebagai pembawa rezeki kepada mereka.
“Hampir setiap tahun kita mengadakan edaran baulu sebagai menghormati dan berkongsi kegembiraan bersama kaum lain.
“Ia wajar diteruskan memandangkan PAS bukan sekadar parti politik, sebaliknya menyampaikan dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” katanya pada program berkenaan baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan Lajnah Perpaduan Nasioanl (LPN) PAS Perlis.
Turut hadir Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim, Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis Nor Shahirah Mat Salleh dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) LPN Negeri.
Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, rata-rata masyarakat Cina menerima dan menyambut baik baulu yang diagihkan kepada mereka.
Manakala pada perkembangan berkaitan Pasti Perlis berkunjung jiran tetangga dalam kalangan kaum Tionghua di Kangar, Arau dan Padang Besar sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Pengarah Pasti Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pada program tersebut murid Pasti dibawa ketika menziarahi penduduk Tionghua bagi menyemai perasaan saling hormat menghormati sesama jiran.
“Inisiatif tersebut bagi menanam sifat peri penting menjaga hubungan antara kaum khasnya dalam masyarakat majmuk.
“Penduduk kaum Cina menyambut baik kedatangan pelajar Pasti, malah ada dalam kalangan mereka memberi angpow sebagai penghargaan,” katanya di sini.
Pasti yang terlibat dengan program berkenaan iaitu Pasti Anak Cilik di Kangar, Pasti Al-Furqan (Arau) dan Pasti Mumtaz (Padang Besar). – HARAKAHDAILY 31/1/2022











