Idris bangga anak muda libat diri dalam keusahawanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad melhirkan rasa bangga dengan semangat anak muda yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Beliau menyatakan demikian susulan melawat seorang penerima manfaat daripada projek MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Mohd Khaizuan Oslan Affandi di Kuala Terengganu, pagi ini.

“Walau rumah beliau ada sedikit kekurangan, namun cekal berniaga kecil-kecilan demi membawa pulang nafkah buat keluarga tercinta,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, anak muda itu membanting tulang berniaga makanan frozen di sekitar Kuala Terengganu yang dimaklumkan boleh menjana pendapatan lebih kurang RM2,000 dan adakalanya tidak menentu.

“Usaha murni Pasukan Menteri Agama untuk mengeluarkan orang kita daripada kumpulan asnaf kepada satu tahap lebih baik,” katanya yang turut disertai Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Konsepnya, ujar beliau YaPEIM memberikan bantuan peralatan perniagaan serta latihan keusahawanan untuk membantu Encik Khaizuan menjana ekonomi dengan berniaga.

“Ibarat, kita tak berikan terus ikan tetapi kita beri joran yang mampu meraih ikan lebih banyak dan berterusan.

“Turut juga dibantu membaik pulih rumah beliau bagi menjaga kebajikan mereka sekeluarga. Secara keseluruhannya bantuan yang diberikan berjumlah RM50,000. Alhamdulillah.

“Mungkin hari ini beliau sebagai asnaf. Insya-Allah satu hari nanti beliau pula yang membantu para asnaf dengan untuk menaik taraf kehidupan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Idris juga mengharapkan masyarakat sekeliling membantu dan mengambil berat sesama satu dengan lain. – HARAKAHDAILY 11/2/2022

- Advertisement -