Lebih 31,500 penduduk dapat manfaat kemasukan pelabur

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG TERAP:
Kemasukan pelaburan ke Kedah secara tidak langsung dapat membantu penduduk tempatan meningkatkan tahap sosio ekonomi keluarga melalui program modal insan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lebih 31,500 penduduk di 12 daerah terdiri daripada golongan B40 menerima manfaatnya sejak 2019.

Katanya, program empowerNCER dan JomNiaga@NCER yang menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan turut memberi fokus kepada rakyat tempatan.

“Selain mendapat latihan kemahiran dan keusahawanan serta menjana pendapatan terkumpul melebihi RM30 juta melalui empowerNCER dan JomNiaga@NCER,” katanya pada majlis Perasmian Projek Strategik NCER, Kedah Rubber City (KRC) di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga latihan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) turut dibantu untuk mengekalkan kelangsungan dan kemampanan perniagaan mereka melalui entrepreneur NCER.

Kata beliau pelbagai program dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) diintegrasikan dengan empowerNCER dan JomNiaga@NCER berjaya memberi nafas baharu kepada golongan kurang kemampuan.

Antaranya program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang dimanfaatkan lebih 12,700 miskin tegar di negeri itu.

“Penerima KIDA diberi peluang untuk menjana pendapatan dan meningkatkan tahap sosio ekonomi keluarga sejajar dengan sasaran sifar miskin tegar menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12),” ujarnya.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan terhadap projek-projek nasional yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya Kedah bersedia membantu memudahcara kemasukan pelabur ke dengan kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan melalui NCIA.

Oleh itu katanya untuk meningkatkan tarikan KRC, Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) akan melaksanakan inisiatif E10 iaitu Permit Pembinaan Ekspres bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan Pelan Pembangunan.

“Saya yakin dengan sinergi dan kerjasama erat yang berterusan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, transformasi Kedah ke arah menjadi sebuah negeri berdaya maju dan kompetitif akan dicapai.

“Saya juga berharap program-program ini dapat diteruskan sepanjang tempoh RMK-12 demi manfaat Keluarga Malaysia di Kedah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -