Kedah Rubber City projek nasional impak tinggi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG TERAP:
Kedah Rubber City (KRC) dijangka mampu mengikut jejak langkah Kulim Industri Hi-Tech Park (KHTP) bagi menarik kemasukan pelaburan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KRC merupakan salah satu projek strategik nasional berimpak tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ia merupakan sebahagian daripada rangka kerja Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH 2035) dan sebahagian daripada rangka kerja Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH 2035).

Menurut beliau, trend pelaburan positif akan disemarakkan lagi dengan pembangunan KRC yang merupakan sebahagian daripada teras 1 di bawah pelan pembangunan terbabit.

- Advertisement -

“Melalui teras berkenaan, ekonomi Kedah akan dipertingkat menerusi ekosistem perniagaan dan industri yang komprehensif dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi.

“Pembangunan KRC di Padang Terap bertepatan dengan identiti daerah itu yang berteraskan getah,” katanya pada majlis Perasmian Projek Strategik NCER, Kedah Rubber City yang disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Katanya lagi, KEDAH 2035 selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025, yang bermatlamat merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Kata beliau di bawah Pelan Pembangunan Strategik Wilayah NCER (2021-2025) Kedah dijangka mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan berjumlah RM62 bilion menjelang tahun 2025, berbanding RM46 bilion pada 2020.

“Kedah berjaya bangkit semula ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi susulan kemasukan pelaburan dalam sektor pembuatan berteraskan eksport, terutamanya dalam pengeluaran sarung tangan getah, penghasilan tenaga boleh baharu, produk elektrik dan elektronik,” kata beliau.

Beliau juga berkata, NCIA berjaya melangkaui sasaran menarik pelabur berjumlah RM25.98 bilion untuk tempoh 2019-2021.

Bagi tempoh Januari hingga September 2021 Kedah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion yang mampu mewujudkan 34,395 peluang pekerjaan untuk rakyat Kedah.

Sanusi juga berkata, beberapa lagi pembangunan teras 1 termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) di Kedah Aerotropolis di mana antara komponennya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) dan Pembesaran Zon Industri Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“KHTP merupakan taman teknologi yang pertama di Malaysia, ia diiktiraf sebagai salah satu taman perindustrian bertaraf dunia tersohor di rantau Asia.

“Rakyat Kedah bakal menikmati manfaat daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi NCIA seperti NCER AgriBio Economic Zone (NAEZ) yang merangkumi Model Pengurusan Estet (EMM) 2.0 bagi penanaman padi di Pendang serta Bandar Baharu Innovation Hub, Kedah Science & Technology Park (KSTP),

“Ini termasuk juga Integrated Economic & Community Centre atau iCON di Sik, Baling dan Yan, serta Perpustakaan Digital Kedah,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Eksekutif NCIA, Dato’ Seri Jebasingam Issace John. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -