‘Kita apa boleh buat, mati pun matilah’

Mohamed Astilkan bersama anak perempuannya.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ura-ura kerajaan mungkin memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) tidak menjadi satu khabar yang menggangu perancangan atau kehidupan seorang peniaga, Mohamed Astilkan, 46.

Menurutnya, dia sudah pasrah akan semua arahan kerajaan, peningkatan kes tinggi, dan hanya menunggu ajal menjemput kerana sudah tidak hairan lagi dengan sebarang perkembangan mengenai pandemik itu.

Mohamed juga telah mendapatkan vaksin penggalak baru-baru ini bersama keluarganya dan tidak kisah jika dia dan keluarga perlu mendapatkan vaksin penggalak seterusnya.

- Advertisement -

“Kita apa boleh buat, mati pun, matilah. Saya pun tahu mati akan datang, tidak mengapa, mati sahaja. Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya.

“Lagipun, ini semua hanya dunia, kes naik 2,000 atau 3,000 atau 20,000 saya sudah tidak hairan lagi. Perlu cucuk sehingga lima atau enam kali pun saya tidak kisah,” katanya.

Menurut Mohamed, perusahaannya juga terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dia mampu untuk meneruskan kehidupan dan tetap bersabar atas ujian itu.

Katanya, dia sebagai rakyat hanya mampu bersabar dan pasrah dengan segala peraturan yang ditetapkan selain memastikan keluarga selamat daripada jangkitan itu.

Menurutnya lagi, dia dan keluarga tidak akan keluar dari rumah jika tiada keperluan uang menuntut untuknya bergaul bebas seperti sebelum pandemik Covid-19 menyerang.

Jelasnya, dia hanya keluar mendapatkan barangan keperluan dan terus pulang ke rumah tanpa berhenti atau merayap ke lokasi lain.

“Saya tidak pergi tempat ramai-ramai. Saya tidak pergi berjalan-jalan di pasar raya atau mana-mana tempat, jika ada kecemasan atau perlu keluar, saya terus balik dan tidak ada singgah mana-mana,” katanya.

Sementara itu, pekerja di sektor pembinaan, So Chee Keong, 51, juga mengamalkan amalan sama dan memastikan dirinya keluar hanya jika terdapat sebarang urusan penting.

Katanya, dia juga sudah kurang untuk melancong memandangkan virus Covid-19 masih berleluasa dan bimbang jika dia dan keluarga dijangkiti virus itu.

“Tempat yang terlalu banyak orang, saya tak mahu pergi. Saya sendiri pun memang jarang mahu pergi, melancong pun tak banyak, selalu ada di rumah dan pergi kerja sahaja,” katanya.

So Chee Keong

Menurut Chee Keong, SOP sedia ada sudah mencukupi dan hanya perlu dipantau dan dikuatkuasakan secara penuh.

Namun katanya, dia tidak bersetuju sekiranya sekatan perjalanan antara negeri dilakukan sepertimana semasa PKP dan PKP 2.0 sebelum ini.

Katanya, hal ini kerana, tindakan itu akan menganggu kelancaran ekonomi isi rumah ramai orang berikutan kekangan untuk operasi kerja seperti biasa.

“Saya rasa SOP sekarang sudah baik, semua orang takut juga jika ada lockdown lagi, sebab akan memberi masalah kepada kerja. Lagi mahu tambah lockdown? Habislah.

“Saya dan keluarga memang patuh SOP, jika perlu kuarantin, semua ikut kuarantin, tidak ambil risiko,” katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga juga sudah lengkap dua dos vaksin dan tidak gentar untuk mengambil vaksin penggalak.

Kata Chee Keong, dia sudah mengambil dos penggalak dan menghantar anaknya untuk temujanji dos penggalak hari ini untuk keselamatan mereka sekeluarga.

“Saya rasa booster okay sahaja, ambil untuk lebih selamat. Tetapi (buat masa ini), saya rasa kalau ada yang keempat, saya tolak dahululah.

“Bukan sebab sakit, sebab sekarang memang rasa antibodi okay semua, tetapi untuk yang dos keempat, saya bimbang badan kurang selesa seperti dos penggalak ini,” katanya.

Selain itu, pengawal keselamatan, Rahmah Said, 57, berkata, dia berharap rakyat akan mematuhi SOP sebaiknya dan tidak menunggu sebarang tindakan tegas daripada kerajaan hanya untuk mematahi SOP yang ditetapkan.

Katanya, rakyat perlu beringat sendiri mengenai bahaya virus berkenaan dan bertindak secara matang tanpa memerlukan ugutan atau denda daripada pihak berkuasa.

Kata Rahmah lagi, jika rakyat gagal untuk mematuhi SOP, ia bukan sahaja menyusahkan kerajaan, bahkan orang lain yang hilang pekerjaan jika PKP kembali dilaksanakan.

“Kalau buat balik PKP, susahlah. Lagi-lagi yang tidak bekerja. Memanglah PKP bagus, nak kawal penularan, tetapi apabila difikirkan kembali keadaan sekarang, kita kena sedarlah. Ikut SOP yang ditetapkan.

“Kita perlu jaga diri kita sendiri. Kalau hendak buat macam PKP sebelum ini, saya tak sanggup untuk lihat orang lain yang lagi susah daripada kita, kita ini mujur masih ada kerja,” katanya.

Rahmah Said

Menurut Rahmah, lokasi tempatnya bekerja mensanitasi pejabat setiap hari pada waktu pagi sejak Covid-19 mula menular di negara ini.

Dia dan rakannya turut diberi kit ujian kendiri percuma setiap dua minggu oleh syarikatnya demi memastikan tiada sebarang penularan berlaku tanpa pengetahuan syarikat.

Katanya, SOP dan penjarakan fizikal yang ditetapkan juga dipraktikkan sebaik mungkin, terutamanya di dalam pejabat di mana hanya tujuh orang dibenarkan mengisi lobi pejabat sepanjang masa.

Perkara itu kata Rahmah, amat membantu dan tiada sebarang penularan dikesan sepanjang syarikat itu mempraktikkan amalan berkenaan.

Berikutan kenaikan kes baharu sebanyak 9,117 direkodkan pada Sabtu lalu, terdapat pihak yang menjangkakan kerajaan berkemungkinan akan memperketatkan lagi SOP sedia ada.

Dalam masa sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dalam ciapannya di Twitter menjangkakan berkemungkinan kes baharu Covid-19 akan meninggkat secara mendadak dalam beberapa minggu.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan kadar jangkitan yang tinggi dariapda gelombang varian Omicron ketika ini. – HARAKAHDAILY 7/2/2021

- Advertisement -