
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Ameerah Dewan Muslimat perlu memainkan peranan bagi menjelaskan tanggungjawab sebagai pemilih kepada pengundi muda berikutan mereka sekarang sudah layak mengundi.
Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Arau, Nur Shazwana Shah Rudin berkata, setiap Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Ameerah perlu diberi pendedahan terhadap tanggungjawab tersebut sebelum diketengahkan kepada pengundi muda.
“Kita perlu beri pendedahan dan kefahaman kepada pengundi muda supaya mereka dapat menjalankan tugas sebagai pengundi.
“Malaysia melakar sejarah selepas had umur mengundi diturunkan, pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik dan had umur calon bertanding diturunkan kepada 18 tahun.
“Tanggungjawab dan peranan untuk menarik minat anak muda terutama yang berumur 18 tahun ke atas semakin bertambah sekarang.
“Ameerah boleh merancang program ke arah menarik minat anak muda terbabit dalam pilihan raya,“ katanya selepas program Taaruf Santai Ameerah Arau di Gunung Medan View Point di sini.
Program tersebut sebagai permulaan kepada AJK Ameerah untuk saling kenal mengenal sebelum melaksanakan perencanaan yang lebih jauh. Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Arau, Husna Hashim.
Nur Shazwana juga berkata, selepas ini banyak pertemuan dirancang khasnya dalam usaha untuk menarik minat golongan muda terbabit dengan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 2/2/2022











