Aktiviti sukan mampu ketengah bakat anak muda

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Golongan belia wajar didorong menyertai aktiviti berfaedah yang bukan sahaja membawa kebaikan kepada diri sendiri untuk membina jati diri sebaliknya melahirkan anak muda berbakat.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata usaha ke arah itu perlu mendapat kerjasama semua pihak termasuk termasuk agensi-agensi kerajaan, syarikat korporat dan NGO.

- Advertisement -

“Masyarakat perlu mendorong golongan belia untuk menyertai sukan yang bersifat kompetitif.

“Sukan sedemikian bukan sahaja membentuk generasi muda yang berdaya saing, tetapi juga sihat fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Kechor Cub Cross Challenge 2022 Tertutup Perlis anjuran Pemuda Kariah Nurul Hamim dan Jabatan Belia dan Sukan Perlis.

Kejohanan itu berlangsung di Litar Kampung Kechor dekat sini semalam.

Menurut beliau dengan menyertai aktiviti seperti itu potensi serta jati diri dapat dibentuk bukan sahaja untuk memperolehi kemenangan semata-mata.

“Jangan lihat pada aspek kemenangan semata-mata, kerana acara sukan sebegini manfaatnya cukup besar khususnya dalam membina potensi dalam diri sendiri.

“PAS sentiasa komited membantu menjayakan apa jua aktiviti yang bersifat sedemikian bahkan kita mengajak semua pihak turut memberikan sokongan,” katanya yang juga Adun Sanglang.

Mohd. Shukri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Badan Bukan Kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut.

“Alhamdulillah, pelbagai pihak termasuk NGO dan pihak swasta tampil memberi sokongan untuk menjayakan kejohanan ini dan ia merupakan suatu perkembangan positif.

“Tahniah juga kepada Jabatan Amal Malaysia Perlis yang bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas serta Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis melalui Alternative Riding Club (ARC) Perlis yang menghantar sembilan peserta menyertai kejohanan ini di bawah pasukan Wan Tune ARC,“ katanya.

Lebih 90 peserta berentap dalam dua kategori pada kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah berupa piala, wang tunai dan hamper kepada pemenang. – HARAKAHDAILY 2/2/2022

- Advertisement -